GANTUNGKAN AZAM DAN SEMANGAT MU SETINGGI BINTANG DI LANGIT DAN RENDAHKAN HATI MU SERENDAH MUTIARA DI LAUTAN.

Sunday

KESEMPITAN HIDUP


Adakalanya, kita rasa sedih dan berduka kerana apa yang kita hajatkan, apa yang kita impikan dan apa yang kita selalu doakan belum hadir ke dalam hidup kita. Sebagai contoh, kita doakan kegembiraan, tetapi hidup kita masih penuh dengan kedukaan. Kita doakan kejayaan tetapi hidup kita masih penuh dengan kegagalan. Malah, kita doakan kekayaan tetapi kesusahan dan kesempitan hidup pula yang memunculkan diri.

Apakah doa kita tidak dimakbulkan? Adakah kita ada lakukan apa-apa kesalahan hingga apa yang kita minta, sebaliknya pula yang tiba?

Saya percaya, kita akan menjadi semakin resah jika kita tidak dapat apa yang kita inginkan. Malah kita rasa bertambah gelisah jika bukan sahaja apa yang diminta tidak tiba, perkara sebaliknya pula yang kerap muncul dalam hidup kita. Saya juga percaya, ada dua cara untuk melihat perkara ini.

Pertama, kita boleh lihat perkara ini dan berkata, “Oh…. kenapalah nasibku begini? Kenapa apa yang aku mahu tidak tiba? Adakah ada kesalahan yang kulakukan hingga tidak berhak mencapai apa yang diidamkan? Apakah sudah ditakdirkan aku akan susah dan sedih sepanjang hayat?”

Jika kita berfikir begini, hidup kita akan bertambah sedih dan mengecewakan. Mana tidaknya. Apabila kita sudah mula rasa semua perkara tidak kena, kita akan mula sentiasa melihat perkara-perkara yang tidak kena dalam hidup kita. Hendak pergi kerja atau sekolah, tiba-tiba hujan, basah satu badan. Sedih.

Hendak menghulurkan bantuan kepada orang, entah kenapa orang itu pula tidak sudi menerima pertolongan. Sedih. Hendak menjadi rajin dan datang awal ke tempat kerja atau sekolah, dikutuk kawan-kawan dan dituduh sudah ‘buang tebiat’. Sedih.

Kedua, kita berusaha mencari maksud yang baik disebalik kejadian. Kita mencari sebab yang baik di atas sesuatu yang berlaku. Sebagai contoh, jika berlaku kemalangan, mungkin itu satu peringatan untuk kita lebih berhati-hati agar kemalangan yang lebih besar tidak berlaku. Jika kita dikutuk dan diumpat orang atas sesuatu usaha yang kita lakukan, mungkin ia satu ujian dan latihan agar kita menjadi lebih tabah dan sabar dalam menempuh dugaan yang lebih besar kelak.

Cara berfikir yang kedua ini adalah amat penting kerana ia bukan sahaja menghentikan kita daripada melihat kepada perkara negatif, ia juga mula membuka mata kita kepada perkara positif. Sebagaimana yang kita sudah tahu pula, perkara positif mengundang kegembiraan dan ketenangan dalam hidup kita.

Semasa saya sedang menyiapkan ijazah sarjana dalam bidang Bimbingan & Kaunseling di UIA, ada seorang pensyarah yang menceritakan sesuatu yang sangat menarik kepada saya. Kata beliau, ada satu doa yang beliau pernah dengar. Doa itu menjelaskan tentang perkara baik disebalik kejadian yang mungkin dianggap tidak baik.

Kata beliau lagi, ‘jika kita mohon kepada Allah untuk menjadi seorang yang bijaksana, Allah tidak menurunkan sifat bijaksana itu serta merta ke dalam minda atau akal kita. Sebaliknya Allah uji diri kita dengan masalah dan cabaran. Jika kita sabar dan berusaha untuk menyelesaikan masalah dan cabaran tersebut, hasilnya, kita akan jadi lebih bijak dan matang dalam mengendalikan masalah dan cabaran sebegitu. Bukankah itu yang kebijaksanaan yang kita doakan?’

Tambah beliau lagi, ‘jika kita mohon dan berdoa untuk memiliki kekayaan, Allah duga dan uji kita dengan kesusahan dan kesempitan hidup. Jika kita sabar dan berusaha untuk keluar daripada kesempitan hidup tersebut, kita akan jadi lebih bijak dan pandai dalam menangani masalah kesempitan hidup sebegitu. Hasilnya juga, kita akan jadi lebih kaya dan mewah daripada sebelumnya. Bukankah itu yang kita mohon dan doakan?’

Hari ini, apa kata kita renungkan apa yang sedang kita mohon dan apa yang sedang berlaku. Jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, jangan cepat berduka atau susah hati. Tabahkan hati dan berusaha untuk hadapi situasi tersebut sebaik mungkin dan kita akan tersedar suatu hari nanti yang apa yang kita mohon dan doakan sudah benar-benar menjadi kenyataan. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 153,

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

No comments:

Post a Comment