GANTUNGKAN AZAM DAN SEMANGAT MU SETINGGI BINTANG DI LANGIT DAN RENDAHKAN HATI MU SERENDAH MUTIARA DI LAUTAN.

Thursday

Pasaran Modal Dijangka Catat Pertumbuhan Positif


Suruhanjaya Sekuriti (SC) optimistik terhadap pertumbuhan positif dalam pasaran modal tahun ini kerana memiliki faktor asas yang kukuh dan persekitaran garis panduan dan peraturan yang ketat. Pengerusi SC, Datuk Zarinah Anwar berkata, saiz pasaran modal negara tumbuh sebanyak 24 peratus kepada RM1.6 trilion pada tahun 2007 berbanding RM1.3 trilion pada tahun sebelumnya. Pasaran modal Islam pula tumbuh sebanyak 29 peratus kepada RM875 bilion pada tahun 2007 berbanding RM676 bilion tahun sebelumnya.
‘‘Kami yakin pasaran modal tempatan pada tahun ini akan mencatat pertumbuhan yang positif walaupun ia bergantung kepada pelbagai faktor ketidaktentuan ekonomi global,’’ katanya semasa mengumumkan Laporan Tahunan SC 2007 di Kuala Lumpur pada 31 Mac 2008.
Zarinah menjelaskan bahawa pasaran bon pula tumbuh sebanyak 12 peratus kepada RM475 bilion pada tahun lalu. Ini telah meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga terbesar di Asia menerbitkan bon. ‘‘Purata saiz terbitan bon yang diluluskan oleh SC adalah sebanyak RM640 juta dengan membabitkan tempoh puratanya selama lima tahun manakala jangka masa matangnya lebih daripada 20 tahun,’’ jelasnya.
Mengenai saham amanah pula, beliau menerangkan bahawa dana tersebut tumbuh sebanyak 44 peratus kepada RM237 bilion pada tahun 2007 berbanding RM164.4 bilion bagi tahun sebelumnya. Nilai pendapatan bersih (NAV) pula tumbuh sebanyak 39 peratus dan jualan bersih bagi tempoh yang sama pula adalah sebanyak RM26.4 bilion. ‘‘Industri saham amanah domestik Malaysia adalah yang terbesar di rantau ASEAN,’’ ujarnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai pasaran modal Islam, Zarinah berkata, modal pasaran bagi saham patuh syariah telah tumbuh sebanyak 28.6 peratus kepada RM705.1 bilion pada akhir tahun 2007. Jumlah ini menguasai 64 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pasaran manakala saham yang berasaskan syariah pula menguasai 85 peratus daripada semua saham-saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

No comments:

Post a Comment